Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Samuel 26

A A A
Alkitab Versi Borneo

Sekali lagi Daud membiarkan Raja Saul hidup

1AOrang Zif datang kepada Saul di Gibea dan berkata, "Bukankah Daud sedang menyembunyikan diri di Bukit Hakhila, yang terletak di sebelah timur Jesimon?" 2Maka Saul segera turun ke Gurun Zif berserta tiga ribu orang pilihan dari Israel untuk mencari Daud di gurun itu. 3Kemudian Saul berkhemah di sisi jalan di Bukit Hakhila, berhadapan dengan gurun. Pada waktu itu, Daud masih berada di gurun itu. Namun apabila diketahuinya bahawa Saul datang mengejarnya ke gurun itu, 4dia mengutus beberapa orang pengintip untuk memastikan memang Saul sudah datang. 5Lalu Daud pergi ke tempat Saul berkhemah. Di sana diamatinya tempat Saul dan Abner anak Ner, panglima tenteranya, berbaring. Saul berbaring di tengah-tengah perkhemahan manakala bala tenteranya berkhemah di sekelilingnya.

6Bertanyalah Daud kepada Ahimelekh, orang Het, dan kepada Abisai anak Zeruya, saudara Yoab, "Siapakah yang mahu turun bersama-samaku ke tempat Saul di perkhemahan itu?"

Jawab Abisai, "Hamba akan turun bersama dengan tuan."

7Sesampainya Daud dan Abisai di tempat pasukan itu pada malam hari, tampaklah Saul berbaring tidur di tengah-tengah perkhemahan. Tombaknya tertancap ke tanah, berdekatan dengan kepalanya, sementara Abner dan seluruh pasukan berbaring di sekelilingnya. 8Kata Abisai kepada Daud, "Pada hari ini Allah telah menyerahkan musuh tuan ke dalam tangan tuan. Sekarang, biarlah hamba tancapkan dia ke tanah dengan tombak ini dengan sekali tikam sahaja. Tidak perlulah hamba menyerangnya dua kali."

9Tetapi kata Daud kepada Abisai, "Jangan binasakan dia. Siapakah yang dapat mencederakan orang yang dilantik Tuhan dan bebas daripada kesalahan?" 10Kata Daud lagi, "Demi Tuhan yang hidup, Tuhan sendirilah yang akan mengajari dia. Mungkin akan tiba ajalnya dan dia mati, atau dia ke medan perang lalu tumpas. 11BTuhan melarang aku membinasakan orang yang dilantik Tuhan. Sekarang, kita akan mengambil sahaja tombak yang ada berdekatan dengan kepalanya serta buyung air itu. Lalu kita pergi." 12Maka Daud mengambil tombak dan buyung air itu dari dekat kepala Saul, lalu mereka pergi. Tidak ada yang melihat, tidak ada yang mengetahui, dan tidak ada yang terjaga. Mereka semua tertidur, kerana Tuhan membuat mereka tertidur dengan lelapnya.

13Kemudian Daud berjalan ke seberang lalu berdiri di atas puncak bukit yang ada jarak yang jauh di antara mereka. 14Dari situ Daud berseru kepada pasukan Saul dan kepada Abner anak Ner, katanya, "Tidakkah kaujawab aku, Abner?"

Jawab Abner, "Siapa engkau, yang berseru kepada raja?"

15Kata Daud kepada Abner, "Engkau lelaki, bukan? Siapakah yang seperti engkau antara orang Israel? Mengapakah engkau tidak mengawal baik-baik raja iaitu tuanmu? Ada seorang daripada kalangan rakyat yang masuk untuk membinasakan tuanmu raja itu. 16Perbuatanmu itu tidak baik. Demi Tuhan yang hidup, kamu patut mati, kerana kamu tidak mengawal tuanmu, orang yang dilantik Tuhan itu. Sekarang lihatlah, di manakah tombak raja dan buyung air yang ada berdekatan dengan kepalanya?"

17Saul mengenali suara Daud lalu dia berkata, "Adakah itu suaramu, wahai anakku Daud?"

Jawab Daud, "Suara hamba, ya Tuanku Raja." 18Katanya pula, "Mengapakah tuanku mengejar hambanya ini? Apakah yang telah hamba lakukan? Kejahatan apa yang ada di tangan hamba? 19Sekarang, sudilah Tuanku Raja mendengar kata-kata hambanya ini. Jika Tuhan yang menggerakkan tuanku untuk melawan hamba, biarlah Dia menerima suatu persembahan. Tetapi jika itu manusia, terkutuklah mereka di hadapan Tuhan, kerana pada hari ini mereka menghalau hamba dengan berkata, 'Pergilah, beribadatlah kepada tuhan lain,' sehingga hamba tidak mendapat bahagian dalam milik pusaka Tuhan. 20Sekarang, jangan biarkan darah hamba tertumpah ke bumi, jauh dari hadirat Tuhan. Sesungguhnya, raja Israel keluar untuk mencari seekor hama sahaja, seperti orang memburu ayam hutan di gunung-gunungan."

21Kata Saul, "Aku telah berdosa. Kembalilah, wahai anakku Daud. Aku tidak akan berbuat jahat lagi terhadap engkau, kerana pada hari ini nyawaku berharga di matamu. Sesungguhnya, aku telah bertindak bodoh, dan aku telah membuat kesilapan besar."

22Jawab Daud, "Ini tombak Raja. Suruhlah salah seorang anak muda menyeberang untuk mengambilnya. 23Tuhan akan membalas setiap orang menurut perbenaranii dan kesetiaannya. Pada hari ini Tuhan telah menyerahkan tuanku ke dalam tangan hamba, tetapi hamba tidak mahu mencederakan orang yang dilantik Tuhan. 24Sebagaimana nyawa tuanku berharga di mataku pada hari ini, semoga jugalah nyawa hamba di mata Tuhan. Semoganya Dia melepaskan hamba daripada segala kesengsaraan."

25Kata Saul kepada Daud, "Semoga engkau diberkati, wahai anakku Daud. Engkau akan melakukan banyak hal dan pasti berjaya."

Daud pun meneruskan perjalanannya, manakala Saul pulang ke tempatnya.